RSS Feed for This PostArtikel Semasa

Katastrofi Teater Malaysia

Semalam, berkesempatan menonton rancangan Fenomena Seni Bersama Rosyam Nor. Sebenarnya, aku jarang menghabiskan malam-malamku dengan menonton televisyen sebaliknya lebih senang memantau alam siber. Tetapi, topik yang mereka perbincangkan semalam menarik minat aku untuk terus mengikuti rancangan tersebut.

  • Benarkah teater di Malaysia ini kurang mendapat sambutan?
  • Benarkah teater di Malaysia ini kurang pembabitan daripada penggiat seni?
  • Benarkah teater di Malaysia ini tidak sehebat teater di Barat?
  • Benarkah teater di Malaysia ini kekurangan fasiliti untuk menggerakkannya?

Ini adalah persoalan yang terbit dari benak aku sendiri dan bukannya persoalan yang menjadi pokok perbincangan semalam.

Definisi Teater
Teater (Bahasa Inggeris “theater” atau “theatre“, Bahasa Perancis “théâtre” berasal dari Bahasa Yunani “theatron“, θέατρον, yang bererti “tempat untuk menonton“) adalah cabang dari seni pertunjukan yang berkaitan dengan seni lakon di depan penonton dengan menggunakan gabungan dari ucapan, gestur (gerak tubuh), mimik, boneka, musik, tari dan lain-lain.

Bernard Beckerman, ketua jabatan drama di Univesiti Hofstra, New York, dalam bukunya, Dynamics of Drama, mendefinisikan teater sebagai “yang terjadi ketika seorang manusia atau lebih, terisolasi dalam suatu waktu atau ruang, menghadirkan diri mereka pada orang lain”. Teater boleh juga berbentuk: opera, ballet, mime, kabuki, pertunjukan boneka, tari India klasik, opera Tiongkok, mummers play, improvisasi persembahan, wayang kulit serta pantomim.

Imbasan Teater di Malaysia
Malas nak membuka sejarah teater Malaysia yang mungkin mengambil masa agak lama untuk diterangkan, cuma aku ingin mengambil contoh perkembangan teater di era 80-an hingga kini. Kebanyakan kumpulan teater yang mula tumbuh dimulakan daripada kumpulan kecil yang mana ahli-ahlinya menyertai secara sukarela. Biarpun, bergerak secara sukarela tetapi konsep sukarela dalam kumpulan teater telah mampu melahirkan teater-teater hebat umpamanya Wira Bukit arahan sutradara terkenal, saudara Mior Hashim Manap.

Dengan terbinanya Istana Budaya ternyata mendatangkan impak yang besar kepada perkembangan teater negara. Kalau dulunya, kumpulan teater lebih suka bergerak secara sukarela tetapi pementasan teater di Istana Budaya memerlukan mereka untuk jadi lebih profesional. Walaubagaimanapun, bukan semua penggiat teater tanahair mampu mementaskan karya mereka di Istana Budaya kerana ongkos pementasan sudah tentu memakan belanja yang tinggi.

Kesudahannya, ada di kalangan penggiat teater terpaksa mengambil jalan selamat (mungkin) mementaskan teater mereka di premis yang lebih murah ongkosnya berbanding Istana Budaya. Namun, pada pendapat aku, sebuah teater bukanlah bergantung kepada mahal murahnya kos pementasan tetapi intipati teater yang dipersembahkan sama ada dari segi idealismenya mahupun buah fikiran penulisnya.

Teater Puteri Gunung Ledang, sebagai contoh, telah berjaya membuka mata masyarakat Malaysia tentang hala tuju teater di Malaysia. Bukanlah niat untuk mengatakan PGL merupakan teater paling berjaya dalam sejarah teater di Malaysia tetapi pementasan teater ini telah membuktikan bahawa ia mampu menarik minat orang Melayu untuk ke Istana Budaya bahkan orang bukan Melayu. Kekuatannya bukan sahaja dari segi prop dan produksi tetapi intipati jalan cerita yang dipersembahkan di dalam teater Puteri Gunung Ledang (PGL) ini. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kekuatan teater Puteri Gunung Ledang (PGL) ini juga disumbangkan oleh para pelakonnya!

Jadi, benarkah teater kita tidak sehebat Broadway? Salah sama sekali kerana teater Puteri Gunung Ledang (PGL) beserta teater-teater lain sudah membuktikan bahawa teater kita bertaraf global.

Yang Kelat, Yang Dangkal
Berbalik kepada rancangan Fenomena Seni semalam, panelnya terdiri daripada Zulhelmi, Puan Marlia Musa dan Puan Rosminah Tahir. Sudah sedia maklum bahawa ketiga-tiga panel ini arif dalam bidang masing-masing. Aku bukanlah seorang penggiat teater tetapi aku hanyalah seorang penggemar teater. Kali terakhir aku menonton teater pada tahun 2004, Teater Demi Zaiton, yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), karya dan arahan oleh Pak Noordin Hassan. Suatu tempoh yang agak lama bagi seseorang yang mengaku sebagai penggemar teater.

Apa yang kelat, apa yang dangkal?

Dalam banyak-banyak respon yang diterima daripada pemanggil ternyata pemanggil seorang ini mampu mengubah kondisi Fenomena Seni menjadi lebih hangat dan sinis. Rasa tercuit dan kelat dengan komen daripada seorang pemanggil dari Kuantan yang dikenali sebagai Tuk Ayah. Minta maaf terlebih dahulu, bukan niat untuk mengaibkan mahupun menyalahkan Tuk Ayah tu balik tetapi aku rasa tindakannya memberi komen tidak kena pada tempatnya.

Aku tidak tahu sama ada Tuk Ayah mengikut rancangan tersebut separuh sahaja lalu terus menelefon ke RTM ataupun beliau sememangnya mengikuti rancangan ini dari awal. Kalau benar dia mengikuti rancangan Fenomena Seni separuh jalan sepatutnya beliau meneliti dan mendengar butir perbincangan dengan sebaik-baiknya bukan tiba-tiba melontarkan komen tidak berasas dengan isi perbincangan.

Aku bukan menidakkan tanggungjawab Tuk Ayah untuk menegur apa yang salah tetapi cara Tuk Ayah tidak berhemah dan tidak kena pada masanya. Kepada yang masih terpinga-pinga apa yang aku bebelkan di sini, aku ingin menyatakan bahawa isi perbincangan Fenomena Seni semalam berkisar tentang teater di Malaysia tetapi secara tiba-tiba Tuk Ayah ini memberi komen supaya Puan Marlia dan Puan Rosminah Tahir memakai tudung.

Alahai.

Bukankah ini menampakkan kedangkalan pemikiran kita, Tuk Ayah? Para panel terpaksa menelan kelatnya komen Tuk Ayah kerana komen ini sudah tentu mengaibkan mereka! Sebagai insan sudah pasti mereka punya rasa malu apabila menerima teguran secara terbuka lebih-lebih lagi rancangan Fenomena Seni bukan ditonton seorang dua tetapi mungkin beribu-ribu penonton di Malaysia. Agak bertuah kerana Rosyam Nor tidak memutuskan talian (mungkin) rasa hormat terhadap Tuk Ayah walaupun saudara Rosyam acapkali mengatakan komen tidak berkaitan dengan topik kupasan. Tahniah kepada para panel kerana masih mampu tersenyum walaupun dilemparkan dengan komen sebegitu rupa.

Kepada Tuk Ayah, diharapkan agar lebih peka kepada situasi dan bukan memberikan komen secara membabi buta. Mungkin niat Tuk Ayah baik, meluruskan mana yang bengkok tetapi keadaannya salah, Tuk Ayah. Sudahlah di Perak, orang Melayu kita terserlah kebodohannya jangan pula kita menambahkan lagi sifat-sifat dungu sebegitu kerana kaum lain akan mudah mengandaikan kita sebagai kaum yang begitu dangkal lagi cetek pemikirannya.

Pendek cerita:
Aku anak Melayu yang ingin melihat orang Melayu menaiktaraf pemikirannya. Kita mula diinjak, masihkah kita tidak sedar? Sultan kita diseret ke muka pengadilan, sanggupkah kita cuma menggelengkan kepala? Sudah banyak teater yang mengajak orang Melayu kembali bersatu tetapi sayang bukan semua yang peka dan suka intipatinya.

Trackback URL

RSS Feed for This Post1 Comment(s)

  1. cech adrea | Mar 1, 2010 | Reply

    Salam perkenalan. Aku sangat meminati pementasan dan segala kerja yang berkaitan teater. Aku suka simbolik yang cuba diserlahkan dalam sesetengah teater. Tapi aku tidak punya pengalaman cara kerja. Bagaimana untuk aku bermula dalam aktiviti ini. 8)

    Aidilx Reply:

    Saudara/saudari berada di mana sekarang. Kalau mau berteater rasanya kalau di Malaysia ada rumah tamu/ Gapena yang selalu melakukan pementasan teater.

RSS Feed for This PostPost a Comment

:p 8) :lol: =( :8 ;) :(( :o: :[ :) :D :-| :-[) :bloody: :cool: :choler: :love: :oups: :aie: :beurk: :canny: :go: :miam: :neo: :ueue: :nose: :oh: :oups2: :prud: :yo: :sadd: :bloody2: :cache: :rose: :spd: :dream: :sure: :yes: :sweat: :kiss: :creve: :what: :pff: :hm: :bobo: :aie2: :aie3: :ciao: :dribble: :gene: