Maulidur Rasul 1430H
By Aidilx on Mar 9, 2009 in Agama, Info Semasa
Tanggal 12 Rabiulawal pada setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan menyambut hari lahir Nabi Muhammad S.A.W buat ke sekian kalinya. Namun, cukupkah dengan perarakan, berzanji, tertahlil dan sebagainya dapat menyatakan perasaan sayang dan kasih kita kepada Rasullullah?
PENGERTIAN MAULIDUR RASUL DAN PENGHAYATANNYA
Tertarik dengan diskusi yang ditonton pagi tadi di TV3. Memang benar seperti mana yang dikatakan oleh Ustaz Mohd Zawawi Jusoh, orang yang paling banyak berjasa kepada kita adalah Nabi Muhammad S.A.W kerana tanpa Rasulullah kita tidak akan dapat mengecapi nikmat sebagai seorang Islam. Islam telah berkembang dari timur hinggalah ke barat meliputi segenap pelusuk benua, daratan, bangsa dan sebagainya.
Tetapi, di mana kita sekarang yang sedang menongkah arus pemodenan yang turut mencabar akidah dan masihkah kita bertaut dengan role model yang telah digarapkan? Atau, turut hanyut ditelan arus kebejatan sosial? Tepuk dada kita tanya iman dan minda.
Tidak ingin menunding jari kepada mana-mana pihak kerana tanggungjawab sepatutnya digalas bersama oleh semua umat Islam. Lantas, jangan ada lagi Islam diperkotakkatikkan. Jangan ada lagi Islam dipersendakan. Jangan ada lagi Islam dipolitikkan. Cukuplah kita dituduh terroris. Cukuplah kita dituduh umat yang lemah. Cukuplah Islam dicerca.
Kita adalah خير امة! Umat yang terbaik! Jadi, kita ambil sedikit masa untuk merenungi sambutan Maulidur Rasul yang kita adakan pada setiap tahun. Pohonlah selalu agar diberi hidayah selain mencari hidayah melalui majlis ilmu dan membaca bahan agama. Jangan hanya menbutakan mata pada hakikat kehidupan kita yang semakin mendesak pada kecintaan agama dan kehidupan duniawi.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul.
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

