UMNO: Perkasakanlah Melayu!
Masih menghabiskan sisa-sisa nasi (makan malam) tiba-tiba nasi melekat di halkum. Sesuatu yang menarik yang membuat sedikit terkejut. Tetapi, ianya bukanlah suatu kejutan luarbiasa kerana ianya kejutan yang sudah dijangka!
Makcik Izat menang bertanding bagi jawatan Ketua Wanita UMNO mengalahkan Makcik Pidah. Wah! Ini resolusi dan transformasi baru! Masakan tidak, hampir 30 tahun asyik Makcik Pidah memegang tampuk pemerintahan Ketua Wanita UMNO. Sekurang-kurangnya, perwakilan wanita perlukan seorang pemimpin yang punya ideologi yang bernas, segar dan kompetitif bagi menjamin kepentingan wanita di dalam UMNO. Tambahan lagi, Makcik Pidah dah lama di atas takhta jadi tak salah kalau turun takhta bagi memberi ruang dan peluang kepada muka baru bagi memimpin Wanita UMNO. Untuk itu, takziah untuk Makcik Pidah untuk kekalahan tersebut. Dah banyak yang kamu kaut bersama-sama dengan kroni kamu sejak berpuluh-puluh tahun dulu. Ingat?
Untuk Makcik Izat, tahniah! Tetapi, jangan terlalu gumbira ye. Perjuangan kita belum selesai bak kata Tun Mahathir. Dengan kejayaan kamu menjadi Ketua Wanita UMNO untuk penggal ini bermakna kamu pikul tanggungjawab besar. Tampak berseri-seri muka penyokong mahupun kroni kamu tatkala Pengerusi mengumumkan kemenangan kamu. Lepas ini, jangan lupa agih-agihkan kebajikan yang kamu janjikan kepada rakyat khususnya golongan wanita. Oh ya, lepas ini jangan pula lupa rajin-rajinkan diri singgah ke rumah kebajikan mahupun menghulurkan bantuan kepada rakyat miskin. Itu lubuk, tau! Pastinya, ada sesuatu yang aku ingin lihat sejajar dengan kemenangan kamu ini. Kenapa aku hidu ada konspirasi di sini. :p
Persaingan rebutan jawatan bagi Ketua Pemuda UMNO terasa lebih getarannya. Masakan tidak, calon yang bertanding bukan calang-calang calon. Khairy Jamaludin, Mukhriz dan Khir bukanlah nama asing. KJ yang sedang hangat dengan buku Tuah & Sial sudah tentu terasa bahangnya kerana disaat keterujaannya mengejar jawatan tersebut tiba-tiba muncul pula isu berkenaan. Ini sekadar polemik ataupun sememangnya satu ugutan. Perihal KJ sudah lama keluar masuk ke telinga aku. Siapa tidak kenal K.J, menantu kesayangan Pak Lah. Orang kepercayaan beliau sehingga ada keputusannya yang mungkin didasarkan di bawah pemikiran K.J. Kalau ditelaah latar pendidikan K.J, dia bukanlah dari golongan yang bodoh, tetapi golongan cerdik dan petah dalam mematahkan hujah orang yang bercanggah dengan pendapatnya. Baguslah, kan? Kita perlukan seseorang yang berani dan tegas dalam mempertahankan keputusan yang dibuat bukannya yang senang goyah.
Mukhriz pula walaupun tidaklah sehebat ayahandanya, Tun Mahathir tetapi dia punya aura tersendiri. Dia punya pengikut tersendiri lebih-lebih lagi mendapat sokongan padu daripada ayahanda. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke pinggan. Cuma, ada sesuatu yang tidak enak didengar: sekiranya Mukhriz dipilih tidak mustahil kelestarian kuasa Mahathir di Malaysia akan kekal. Jadi, bagaimana? Kita perhalusi dengan melihat peribadi Mukhriz. Agak jarang mendengar gosip atau cerita-cerita kurang enak yang berkaitan dengan Mukhriz. Jadi, Mukhriz boleh diklasifikasikan sebagai calon yang bersih daripada sebarang anasir yang boleh menjahanamkan karier politiknya.
Khir Toyo. Nama ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Sinonim dengan penyapu dan tempe. Secara peribadi, Khir Toyo bukan pilihan aku. Serangan peribadi antara Khalid Ibrahim dan Khir Toyo begitu memualkan aku. Khir tuduh Khalid. Khalid tuduh Khir. Tidak keterlaluan dikatakan ini semua permainan Khir untuk meraih undi 8) . Tidak perlu dipanjangkan kerana aku rasa semua orang tahu Khir ini bagaimana peribadi dan perjalanan karier politiknya.
Iklan sebentar
Mutakhir: Jawatan Ketua Pemuda UMNO dimenangi oleh Khairy Jamaludin. Tepuk-tepuk saudara-saudara sekelian.
Sudah terang dan nyata, Makcik Izat dan K.J sudah berjaya memperolehi apa yang diidamkan selama ini. Tuah atau sial si Khairy Jamaludin ini? Nampak gayanya, tuah menyebelahi dia. Saman itu ada hikmahnya barangkali :) . Sudah panjang aku menulis malam ini. Jarang sebenarnya ide datang sebegini rupa. Cuma, ianya akan datang apabila ada isu yang boleh membantu aku mengintegrasikan ide dengan kondisi semasa.
Bukanlah Ketua Pemuda mahupun Ketua Wanita yang aku ingin saksikan siapa pemenangnya, tetapi yang lebih mengujakan diri adalah siapa yang memperkasakan UMNO khususnya orang Melayu yang saban hari semakin tunduk ke bumi. Diharapkan Najib Tun Razak bersama-sama barisannya mampu mengubah hala tuju orang Melayu. Sudah-sudahlah menjerumuskan diri dengan skandal. Bangun dan perkasakan bangsa Melayu. Jangan Melayu hanya tinggal kerisnya saja tetapi semangat sudah hancur dimamah wang ringgit. Nah! Ini masa kamu, Najib. Kamu perlu bangunkan Malaysia ini setelah terus dilanda tsunami ekonomi dan kebejatan sosial.
Aku anak Melayu yang sayangkan bangsaku. Jadi, janganlah hampakan aku. Ambillah sedikit kekuatan dan kecerdikan Tun Razak untuk kamu bangunkan Malaysia dan bangsa Melayu agar bangsa kita tidak layu lagi. Ini harapan aku untuk kamu yang sudah menerima amanatnya hari ini dan semalam.






16 Comments to “UMNO: Perkasakanlah Melayu!”