Batang Ai: Maju & Mundur Kamu!
Apakah signifikan pilihanraya kecil Batang Ai ini kepada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain daripaada pilihanraya Bukit Selambau dan Bukit Gantang? Kebanyakan fokus mungkin tertumpu kepada pilihanraya di Bukit Gantang kerana perebutan kerusi yang lebih hangat oleh dua calon utama iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ismail Saffian. Bagi Muhyiddin sendiri, kemenangan adalah penting sebagai cenderamata kepada Najib selepas mengambil alih tampuk kepimpinan dan pemerintahan Malaysia daripada Pak Lah. Bagi Nizar pula, sekiranya beliau ditakdirkan menang mungkin akan dapat membasuh maruahnya yang sedikit tercalar ekoran rampasan kuasa secara halus oleh BN.


Ketepikan Bukit Gantang, fokus utama aku cuma di Batang Ai. Batang Ai yang terletak di kawasan Lubuk Antu bukanlah asing kepada rakyat Sarawak. Mungkin agak terpencil tetapi suasana alamnya masih terjaga. Pembangunan masih belum mencukupi untuk membangunkan sebuah kawasan yang bagi aku punya tarikan alam yang tersendiri. Acapkali, apabila berulang-alik ke Kuching, Lubuk Antu terasa menyeru supaya aku datang bertamu sekejap melihat pembangunan ditempat tersebut. Sayangnya, aku tiada kesempatan untuk melapangkan sedikit masa ke situ. Agak ralat.


Jadi, apa kurangnya signifikan pilihanraya kecil Batang Ai ini kepada Barisan Nasional khususnya Barisan Nasional Sarawak? Dengan mengemukakan muka baru saudara Malcom Mussen, BN mengharapkan mereka akan dapat terus kekal mentadbir Lubuk Antu bagi meneruskan legasi perjuangan mendiang Dublin Unting. Manakala, bagi pihak PKR, mereka mengemukakan muka lama iaitu saudara Jawah Gerang. Jawah Gerang bukanlah nama asing kepada penduduk di situ kerana beliau sebelum ini pernah mewakili kawasan tersebut di bawah label Barisan Nasional. Apa yang menghairankan aku, aku tidak pernah kenal Jawah ini kerana beliau tidak pernah disenaraikan dalam kabinet negeri Sarawak. Pelik tetapi benar. Bukannya aku terlepas pandang mahupun buta sejarah tetapi itulah hakikatnya.
Aku teruja apabila TV1 menayangkan temuramah mereka dengan beberapa penduduk Iban yang dikatakan serik dan penat untuk mengundi Jawah kerana sewaktu beliau menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut tiada pembangunan yang dibawa kepada mereka. Adakah benar begitu?


Apakah semasa pentadbiran mendiang Dublin Unting, segala pembangunan sudah dibawa masuk bagi membangunkan pekan Lubuk Antu? Kenapa pekan Lubuk Antu tidak dinaiktaraf seperti kawasan terhampir dengannya iaitu Betong mahupun Sri Aman? Di dalam kerancakkan Betong dan Sri Aman membangun, pekan Lubuk Antu rasanya agak terpinggir daripada pembangunan. Mungkin ada sedikit pembangunan tetapi rakyat Lubuk Antu sudah tentu menagih pembangunan yang lebih giat. Oleh itu, aku anggap pilihanraya kecil Batang Ai ini sebagai kebangkitan masyarakat Iban dan Melayu di kawasan tersebut bagi menentukan hala tuju kawasan ini dimasa akan datang. Cukupkah janji manis (pembangunan) yang sering acapkali dijanjikan kepada mereka setiap kali menjelang pilihanraya? Semua orang boleh membuat seribu janji tetapi bukan semua boleh menunaikan janji apabila sudah dapat apa yang dihajati.


Bagi aku, orang muda di Batang Ai mungkin punya perkiraannya tersendiri. Isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan memperjuangkan nasib kaum Dayak (Iban) sebagai parameter utama dalam perjuangan kamu. Benarkah kerajaan sudah memberikan pampasan yang sepatutnya kepada kamu? Kalau betul, baguslah. Kalau tidak, maka bangunlah saudaraku di Lubuk Antu. Tanah Adat Bumiputera (NCR) adalah hak nenek moyang kita dahulu. Jangan persia-siakan usaha mereka. Sudah banyak aku terdengar NCR ini digadai dan dirampas oleh orang-orang tertentu tanpa adanya pampasan yang sebetulnya diberikan kepada mereka. Aku bumiputera, kamu pun bumiputera. Aku sendiri melihat betapa pentingnya NCR itu dikekalkan hak kepada kamu supaya dikemudian hari kamu tidak perlu mengemis memohon bantuan yang belum tentu akan dapat atau tidak. NCR itu andainya dibangunkan dengan kudrat kamu sendiri, sudah tentu lebih banyak laba yang kamu akan dapat.


Bagaimana pula nasib masyarakat Dayak (Iban) di situ? Terbelakah mereka? Agak sedih apabila aku mendengar rintihan seorang warga Lubuk Antu (Batang Ai). Empangan hidroelektrik Batang Ai yang selama ini menjadi nadi pembekalan elektrik di Sarawak, malangnya tidak dinikmati oleh mereka. Nah! Bagaimana perkara tersebut boleh terjadi sedangkan mereka merupakan penduduk di situ. Sepatutnya, mereka diberikan keutamaan untuk menikmati fasiliti tersebut. Andai perkara yang aku bentangkan di sini tidak betul, maka apa yang aku tonton dan dengar beberapa hari lepas adalah dusta juga. Saudaraku di Batang Ai, perbetulkan aku andai semua ini tidak betul. Aku anggap saudaraku (masyarakat Iban) di sana sudah mampu bersaing sama ada dari segi pendidikan, perniagaan dan sebagainya. Sekiranya, fasiliti belum mencukupi maka ambillah kesempatan ini untuk memperjuangkan nasib kamu. Itu hak kamu! Juang dan terus juang sehingga hak kamu terbela, saudara. Andainya kamu mengetepikan hak tersebut, alangkah ruginya kamu nanti. Sungguh!


Kredit khas: den2020
Benar! Lubuk Antu itu bukan tanah kelahiran aku. Bukan padang permainan aku jua dikala kecil. Tetapi, sebagai anak Sarawak, sebolehnya aku ingin melihat Lubuk Antu dibangunkan seperti mana bahagian-bahagian lain di Sarawak. Bukan hanya fokus kepada bahagian-bahagian yang terlibat dengan SCORE. Oleh itu, saudaraku di Batang Ai, pilihlah pemimpin yang punya kredibiliti dan benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat di situ. Bukan yang berpaksikan kepada kuasa dan kesenangan semata-mata. Andai kamu tersalah pilih pemimpin, sudah tentu Lubuk Antu (Batang Ai) akan kekal begitu.
Saudaraku, maju dan mundur Batang Ai ditangan kamu sekarang!






4 Comments to “Batang Ai: Maju & Mundur Kamu!”