Bahasa: Sumber Ilmu Dan Budaya
Dua hari lepas, saudara jauh (sebelah Mama) bertandang ke rumah. Agak terkejut kerana suasana rumah tiba-tiba menjadi riuh rendah. Apabila menjengah masuk ke rumah, tetamu sedang rancak berbual-bual dengan abang aku. Aku dapat menangkap pandangan mereka. Bernasib baik kerana abang aku jadi penyelamat keadaan dengan memperkenalkan aku (terima kasih, bro! :D ). Almaklumlah, mereka jarang melihat aku berbanding abang-abang aku yang lain.
Rupa-rupanya, anak kepada saudara Mama menyertai pertandingan Kumang Gawai (bersamaan dengan Ratu Cantik). Jadi, mereka bertandang ke rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat abang aku (poyo je). Butir bicara mereka sudah semestinya di dalam bahasa Iban yang membuatkan aku hanya mampu tersenyum kambing. Bukan maksud, aku tidak memahami perbualan mereka cuma peratus kefasihan aku di dalam bahasa Iban masih rendah. Di dalam keluarga, aku diibaratkan “the ugly duck” kerana kurangnya kefasihan aku bercakap di dalam bahasa tersebut berbanding abang-abang aku.
Tiba-tiba, saudara tadi bertanyakan sesuatu kepada abang aku.
“Nemu jakuk Iban ya? (Dia tau bercakap Iban ke?)
“Nemu mimit..” (Tau sedikit)
“Subak agik mit ya. Ya tuk udah besai. Sigik burak ya subak.” (Dulu, dia masih kecil. Sekarang, dia dah besar. Dulu, dia memang putih).
Wah! Ayat terakhir tersebut membuatkan aku sedikit terpana :) . Benarkah aku tidak seputih dulu? Memang pun. Ini disebabkan sewaktu di alam universiti aku lebih banyak terlibat dengan acara yang memerlukan aku terpaksa berjemur di bawah terik matahari. Huhu. Tak apalah. Sekurang-kurangnya, nampak sedikit aku mewarisi kulit orang Melayu. :o:
Dan, pertanyaan ini membuatkan aku hanya tersenyum dan diam. Bukan di dalam situasi di atas saja, bahkan apabila bertembung dengan sanak saudara sebelah Mama (Iban & Cina) mereka sering bertanyakan soalan yang sama kepada Mama. Tetapi, bukan semua saudara Mama yang tidak tau akan kurangnya penguasaan aku di dalam bahasa Iban. Ada di antara mereka akan sedaya upaya bercakap di dalam bahasa Melayu Sarawak supaya mudah bagi aku untuk memahami soalan mereka. Lucu!
Pengajaran cerita: Maka berusahalah kita untuk menguasai seberapa banyak bahasa di dunia ini. Ianya bukan sahaja mampu membuatkan kita senang memahami sesuatu yang diperkatakan bahkan menaikkan kredibiliti kita seperti mana Datuk Mahadzir Lokman. Aku sendiri berasa kagum dengan “kebijakkan” beliau kerana mampu menguasai enam bahasa asing selain bahasa ibunda.
Walaubagaimanapun, kita tidak dapat menafikan bahawa bahasa juga boleh mengundang sensitiviti (-ve dan +ve) kepada masyarakat kita. Penggunaan bahasa yang kasar misalnya ‘celaka, sial, hanjeng‘ dan sebagainya di dalam kehidupan seharian kita, sudah tentu dapat membuat orang menilai keperibadian kita walaupun bukan secara total.
Rasanya kamu dapat mengagak blog mana yang banyak menggunakan perkataan-perkataan yang kasar dan kurang sopan. Tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana ianya melibatkan soal “privacy” dan hak individu. Pepatah Arab ada menyebut bahawa “sesungguhnya keindahan itu ialah dengan keindahan ilmu dan budi bahasa”.
Dan, kamu yang berada di universiti; cubalah menguasai bahasa ketiga yang diterapkan di dalam silibus. Jangan pandang enteng perkara tersebut. Apabila kamu memasuki dunia pekerjaan sebenar, barulah kamu akan tau betapa beruntungnya andai kamu benar-benar menguasai bahasa asing (terutamanya bahasa Mandarin) dan betapa ruginya andai kamu menidakkan kepentingan bahasa ketiga di dalam hidup kamu.
Akhirul kalam, aku tuntaskan entri hari ini dengan memetik pepatah Melayu yang indah berkaitan bahasa dan budi. Hayati dan selamilah.
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa






18 Comments to “Bahasa: Sumber Ilmu Dan Budaya”