Efek Pemanasan Global
![]()
Rutin seharian dipejabat selain menghabiskan sisa-sisa dokumen yang perlu disiapkan adalah menziarahi Facebook. Entah kenapa, aku lebih suka menghiburkan diri di Facebook berbanding situs sosial yang lain. Mungkin, fasilitinya jauh lebih baik daripada Myspace dan Friendster. Bahasa lebih mudah, Facebook lebih mesra pengguna. Kalau pun tidak memenuhi kotak mesej yang ada di Facebook, aku lebih senang membaca status kawan-kawan. Pelbagai! Betul-betul menghiburkan tapi adakalanya merimaskan.
Jadi, apa kaitan Facebook dengan isu pemanasan global?
Ceritanya begini, kawan-kawan. Alkisahnya, seperti biasa aku menziarahi Facebook dan terlihat ustaz Hasrizal aka Saifulislam menulis distatusnya yang berbunyi, “Global Baking of 40c.” Tidak sah kalau tiada komen yang membalas status beliau. Jadi, salah satu komen menarik yang boleh aku petik ialah:
“Ustaz..dgn panas mcm ni..kes H1N1 yg meningkat..apakah bala namanya.. :(“
Aku terfikir seketika. Dengan segala macam bencana yang mula hadir, adakah ini benar-benar dikatakan bala? Atau sebenarnya ianya satu petanda kepada manusia bahawa dunia ini semakin menghampiri masa tuanya. Sudah tidak berdaya untuk menampung segala kebejatan yang berlaku di atas bumi milik Allah ni. Perkara ini terlalu sensitif untuk dibahaskan cuma kita perlu berfikiran terbuka.
Secara umumnya, permasalahan ini berpunca daripada sikap kita sendiri. Kita tidak boleh menunding jari dan menyalahkan negara maju, 100%. Negara membangun seperti Malaysia juga sudah menyumbang kepada pemanasan global. Banyak hutan-hutan tua dan dara kita sudah diteroka. Pelbagai kes yang dipapar dan didedahkan oleh pihak media elektronik terutama sekali TV3 bagaimana rakusnya orang kita menjahanamkan hutan hujan tropika yang selama ini merupakan khazanah yang paling berharga kepada kita. Apakah kita tidak terfikir bahawa penebangan hutan dinegara kita sudah menyumbang kepada perubahan iklim global?
Jangan kita merungut lagi dengan keadaan iklim yang sudah berubah. Ini berpunca daripada perbuatan dan sikap kita sendiri. Justeru, perkara ini menuntut kita untuk berfikir bahawa sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini sewajarnya kita menjaga bumi ini dengan baik. Pembangunan itu perlu cuma jangan mengabaikan soal alam sekitar. Sudah banyak hasil bumi yang kita kaut untuk kepentingan kita tetapi adakah kita menggunakannya dengan sebaik mungkin? Tepuk dada, tanya diri kita.
Dunia semakin dimamah usia. Pembangunan semakin rancak berjalan. Manusia pula semakin rakus mencari laba daripada hasil bumi. Bukit ditarah. Hutan digondol. Sungai dicemari. Jadi, apakah yang masih tinggal untuk generasi kita pada masa akan datang? Alangkah sedihnya andai anak-anak kita nanti sudah tidak merasa mandi di sungai, sudah tidak merasa sedapnya durian, sudah tidak merasa cantiknya gunung-ganang, sudah tidak merasa masinnya air laut dan sudah tidak mengenal unggas dirimba. Tidak perlu dipanjangkan isu ini. Ayuh! Kita fikirkan bersama-sama apakah sumbangan kita bagi menjaga bumi kurniaan Allah ini agar ianya tetap mampu menjadi sahabat kita buat selama-lamanya. Jangan biarkan ianya berdendam dengan kita dek kerana nafsu serakah kita di dalam mengejar pembangunan dan sebagainya.
Ini bumi kita. Ini tempat kita. Ini amanah kepada kita. Mudah-mudahan Earth Hour yang akan datang mampu merubah “mind-set” kita. Mungkin bait lagu Ebiet G. Ade ini mampu mengajak kita berfikir sejenak.
Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencanaMungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyangBerita Kepada Kawan – Ebiet G. Ade






12 Comments to “Efek Pemanasan Global”