Isu Cawat: Rakyat Sarawak Terluka
“Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi yang pakai molek, undi PAS.” – Petikan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Malaysiakini.com: 11 Julai 2009)
Apa perasaan kamu apabila seorang pemimpin yang dihormati mengeluarkan kata-kata yang berunsur penghinaan?
a. Marah
b. Suka
c. Sedih
d. Sumpah seranah
e. Peduli apa!
f. Semua jawapan tidak betul.
Sehubungan dengan ucapan yang disampaikan oleh Presiden PAS tersebut, kebanyakan rakyat Sarawak sudah terluka dan rasa terhina. Bagaimana seorang pemimpin parti yang berteraskan Islam sanggup menyampaikan kata-kata sedemikian? Pada mulanya, saya kurang percaya apabila timbulnya isu ini. Disebabkan tidak ingin semberono di dalam memberi maklum balas, saya memeriksa arkib di Malaysiakini.com ternyata ada laporan yang ditulis oleh saudara Jimadie Shah Othman yang bertajuk “Nasha Berkempen di Manek Urai.” Namun, itu bukan penamat kepada pencarian saya.

James Masing berang dengan kenyataan Hadi Awang
Saya cuba mencari di Google dan ternyata sudah banyak blog yang memperkatakannya. Masya-Allah. Lantas, apa reaksi saya yang selama ini agak condong kepada parti tersebut? Sungguh, saya agak terkilan, sedih dan kecewa. Sama sekali, saya tidak menyangka Presiden PAS tersebut sanggup mengeluarkan kata-kata sebegitu sekali terhadap masyarakat di Batang Ai. Walaupun, saya tidak tinggal di kawasan tersebut tetapi sedikit sebanyak saya terpalit sama kerana saya merupakan warga Sarawak. Masakan saya masih memekakkan telinga, membutakan mata apabila soal maruah negeri dan masyarakat saya diperkotak-katikkan oleh pemimpin berkenaan.
“Saya tidak nampak ia menjadi isu besar, Ustaz Hadi tidak pernah bermaksud menghina orang di Sabah dan Sarawak, apa yang ingin dikatakan ialah orang di Sarawak masih belum terdedah dengan maklumat dan terus mengundi BN.” – (Salahuddin Ayub: Sinar Harian)

Respon masyarakat Iban di Lubok Antu tentang isu Cawat!
Menurut Salahuddin Ayub kenyataan yang dibuat Presiden Pas itu tidak harus menjadi isu yang besar dan menjadi polemik kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Bagaimana isu ini tidak harus dipandang sebagai isu besar? Kalau benar Hadi Awang ingin mengatakan bahawa orang di Sarawak ini belum terdedah dengan maklumat sebenarnya, sepatutnya perlu dinyatakan dengan terang. Tidak perlu berkias sehingga menggunakan perkataan sensitif yang akhirnya mengakibatkan orang ramai khususnya rakyat Sarawak rasa terkilan dan marah.
Saya harap tiada lagi pemikiran jumud sebegini akan wujud tatkala mana Malaysia diwar-warkan sebagai negara majmuk yang menghormati antara satu sama lain. Seharusnya, seseorang pemimpin lebih peka akan sensitiviti sesuatu kaum sebelum mengeluarkan kata-kata. Saya tidak kisah akan kata-kata yang akan saya terima daripada penyokong PAS selepas ini. Katalah apa saja yang anda mau nanti kerana saya pasti segala tulisan saya diblog ini sudah pasti untuk menegakkan keadilan untuk rakyat negeri saya sendiri. Walaupun, saya tau ada sesetengah pemimpin tempatan menganggap kata-kata Hadi Awang sebagai gurau senda namun apakah anda sanggup menelan gurau senda andainya melibatkan maruah bangsa kamu sendiri?

Saya tidak terkejut dengan kenyataan akhbar tentang Pemuda di Batang Ai yang ingin melakukan protes terhadap Hadi Awang dengan membakar bendera PAS. Saya tahu mereka marah dan berkecil hati dengan kenyataan tersebut. Tidak kira ianya didalangi oleh Parti BN atau sebaliknya bagi saya itu adalah hak mereka. Kalau Hadi Awang boleh bersuara masakan mereka tidak melakukan perkara tersebut. Namun, itu bukan bermaksud saya menghalalkan cara tersebut untuk menunjukkan rasa protes mahupun benci. Banyak pihak sudah memohon agar Hadi Awang memohon maaf di atas keterlanjuran kata-katanya namun semua itu belum terjadi.
Andai diikut rasa hati masih banyak yang perlu diperkatakan. Apa yang pasti, saya sepertimana rakyat Sarawak yang lain berasa kecil hati di atas kata-kata tersebut waima ianya dianggap sebagai gurau senda oleh sesetengah pihak. Buat Tuk Guru Hadi Awang, tidak salahkan memohon maaf di atas keterlanjuran kata kerana maaf itu juga perkara dituntut di dalam Islam apabila melakukan kita melakukan kesalahan.


“Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi yang pakai molek, undi PAS.” – Petikan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Malaysiakini.com: 11 Julai 2009)



20 Comments to “Isu Cawat: Rakyat Sarawak Terluka”