Fenomena Ribut Geomagnetik

Satu fenomena letusan suar matahari dan semburan CME telah dilaporkan berlaku di permukaan Matahari pada 23 Januari 2012 yang dikesan melalui satelit khas pemantauan Matahari, SOHO dan STEREO milik NASA dan ESA. Letusan ini telah menyebabkan fenomena ribut geomagnetik di Bumi pada 24 Januari sekitar jam 15:00 UT [jam 23:00 Waktu tempatan].
LATAR BELAKANG
Matahari adalah sebuah bintang bersaiz sederhana dan mempunyai aktiviti luaran (permukaan) seperti pembentukan tompok hitam (sunspot), penyemburan tenaga melalui fenomena seperti suar matahari (flare) dan penyemburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) yang boleh menyebabkan fenomena ribut suria (solar storm). Aktiviti matahari ini mempunyai kitaran ‘senyap’ dan juga ‘aktif’ selama 11 tahun yang berulang yang dikenali sebagai kitaran suria (solar cycle). Fenomena di mana matahari mengalami aktiviti ‘aktif’ ini di kenali sebagai solar maksimum (solar max) yang dijangka akan berlaku dalam tahun 2012 hingga 2013.
Kesan fenomena ribut suria dan interaksinya dengan medan magnet dan lapisan ionosfera Bumi boleh menyebabkan ribut geomagnetik yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi radio dan radar, sistem satelit dan gangguan kepada sistem navigasi seperti kompas yang berpandukan kepada magnetik Bumi dan fenomena kenampakan aurora di kutub utara dan selatan Bumi. Ribut geomagnetik yang sangat kuat seperti yang berlaku pada tahun 1989 boleh menyebabkan arus aruhan yang menyebabkan kebakaran alat transformers di jaringan elektrik voltan tinggi di Wilayah Quebac, Kanada.







