Dua hari lepas, saudara jauh (sebelah Mama) bertandang ke rumah. Agak terkejut kerana suasana rumah tiba-tiba menjadi riuh rendah. Apabila menjengah masuk ke rumah, tetamu sedang rancak berbual-bual dengan abang aku. Aku dapat menangkap pandangan mereka. Bernasib baik kerana abang aku jadi penyelamat keadaan dengan memperkenalkan aku (terima kasih, bro! ). Almaklumlah, mereka jarang melihat aku berbanding abang-abang aku yang lain.
Rupa-rupanya, anak kepada saudara Mama menyertai pertandingan Kumang Gawai (bersamaan dengan Ratu Cantik). Jadi, mereka bertandang ke rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat abang aku (poyo je). Butir bicara mereka sudah semestinya di dalam bahasa Iban yang membuatkan aku hanya mampu tersenyum kambing. Bukan maksud, aku tidak memahami perbualan mereka cuma peratus kefasihan aku di dalam bahasa Iban masih rendah. Di dalam keluarga, aku diibaratkan “the ugly duck” kerana kurangnya kefasihan aku bercakap di dalam bahasa tersebut berbanding abang-abang aku.
aku tidak akan berkecil hati, apatah lagi melahirkan amarah
bagai sang vagabond luka ketika seruling tua yang berada
di tanganku ini ingin saja segera kau patahkan.
kata-katamu tidak sama sekali menerjang takdirku
kuingin kau menghidu bau warna dedaunan;
hijau berganti kuning. sebenarnya bagaimana?
di antara peralihan warna itu (hijau ke kuning, kata
para cengkerik) – warna apa yang terbit?
Moga kau bisa menebak jawapannya.
satu saja yang masih belum terampas dari tangan nasibku.
sebiji guli nasib berkilat – kilau kala parak siang;
disetubuhi sepi yang jantan
maka Engkaulah sebenarnya penonton setia itu – tidak
pernah mengerutkan kening meski seringkali aku
menunda hajatku untuk menginsafi segala kekhilafanku.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengatur segalanya di bumi ini. Kami mula menarik nafas lega apabila si kecil, Awang Abdul Najib mula menampakkan sedikit perubahan yang cukup memberansangkan. Si kecil sudah dipindahkan ke wad biasa setelah dimasukkan ke ICU tempohari. Perubahan positif ini sedikit sebanyak mampu memberikan kegembiraan kepada sepupu aku walaupun aku rasakan masih tersisa perasaan risau dan cemas dihatinya.
Walaupun, si kecil sudah dipindahkan ke wad biasa tetapi masih bergantung kepada bekalan oksigen. Wayar-wayar juga masih berselirat dibadannya. Dan, inilah yang agak merisaukan aku. Doktor sendiri, tempohari, telah memberikan sedikit gambaran kepada kami bahawa percaturan hidup si kecil cuma 50-50. Namun, kami yakin kekuasaan Allah itu mampu mengatasi segala-galanya. Doa dan usaha tidak pernah putus kami iringi dan panjatkan kepada-Nya agar si kecil cepat sembuh.